Firman Allah di dalam surah An-Nisa ayat 58 yang bermaksud,
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyampaikan atau
menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan menyuruh kamu melaksanakan
sesuatu hukum itu dengan adil. Sesungguhnya Allah telah memberi pengajaran yang
sebaik-baiknya kepada kamu, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha
Melihat.”
Melalui ayat ini, Allah memerintahkan setiap orang Muslim
supaya menunaikan Amanah atau tanggungjawab yang berkaitan dengan segala urusan
hidup di muka bumi ini. Dalam hal ini, segala tanggungjawab itu hendaklah di
sempurnakan dengan adil dan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya kerana perintah
Allah. Ianya merupakan sebaik-baik pengajaran, tambahan pula segala urusan
makhluk di muka bumi ini telah digariskan oleh-Nya di dalam Al-Quran dan juga
Hadith yang berupa dustur atau perlembagaan yang mesti diikuti sebagai panduan
hidup yang cukup lengkap dan sempurna untuk diikuti. Oleh sebab itu segala
urusan itu hendaklah di sempurnakan supaya terlepas dari azab seksa di akhirat
kelak.
Ayat ini juga merupakan pokok segala hukum yang terkandung semua
urusan agama dan syariat Allah. Justeru sebagai khalifah di muka bumi imi,
manusia telah dibebani Amanah oleh Allah, terutama para pemimpin yang
menjalankan urusan manusia.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “ Ketahuilah! Setiap
kamu adalah pengembala (pemimpin) dan setiap kamu akan di tanya tentang
kepimpinan itu. Seorang Amir (penguasa) yang berkuasa terhadap rakyat akan di
tanya tentang kepimpinannya. Seorang lelaki (suami) adalah pemimpin
keluarganya, dia akan di tanya mengenainya, seorang wanita (isteri) adalah
pemimpin rumah suaminya dan anak-anaknya, maka dia akan di tanya mengenainya,
setiap hamba memimpin atas harta tuannya dan ia akan di tanya mengenainya, maka
ketahuilah setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan di tanya tentang
kepimpinannya itu.”
Dengan ini jelaslah di tegaskan setiap orang itu pemimpin
dan ada amanahnya yang mesti di laksanakan.
Ulamak tafsir membahagikan amanah kepada tiga:
1. Amanah Hamba Terhadap Tuhannya (Allah)
Iaitu perjanjian semasa di alam roh untuk
menjaga dan mengikuti suruhan Allah dan mencegah kemungkaran serta menggunakan
atau memanfaatkan anugerahNya semata-mata untuk mendekatkan diri kepadaNYa,
sesungguhnya penderhakaan kepada Allah merupakan suatu pencabulan hak Allah.
2. Amanah Sesama Makhluk
Iaitu menyerahkan segala amanah
(pertaruhan, simpanan atau kepercayaan) kepada yang berhak menerimanya, jauh
daripada penipuan di samping menjaga rahsia dan seumpamanya.
3. Amanah Terhadap Diri Sendiri
Iaitu ia memastikan bahawa diri hanya memilih
yang terbaik bagi dirinya untuk kebaikan di dunia dan akhirat serta menghindari
dirinya dari perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan pada diri.
Dalam ayat ini juga Allah memerintahkan khususnya kepada
para pemerintah, hakim dan juga para Kadhi apabila menghukum hendaklah dengan
adil serta jauh daripada kepentingan sendiri dan pilih kasih.
Sesungguhnya kejujuran dan keikhlasan dalam melaksanakan
tugas adalah amat penting dalam kehidupan masyarakat. Ia merupakan tanda
seseorang itu beriman atau sebaliknya. Imam Bukhari ada meriwayatkan bahawa
keikhlasan dalam menunaikan amanah dan menepati janji adalah dalil keimanan
yang tinggi kepada Allah.
Natijah keimanan ini akan dikecapi kemanisannya oleh seluruh
masyarakat umpama jiwa yang satu, manakala natijah mengkhianati amanah ini
menunjukkan kurangnya iman yang menjadi tanda sesebuah masyarakat itu
menghadapi krisis. Situasi seperti inilah yang didapati menghinggapi masyarakat
Islam hari ini, fenomena ini berlaku akibat daripada ibadah yang dilakukan
tidak diimplementasikan sebagaimana di tuntut oleh Islam.
Amanah adalah asas
pembangunan negara, manakala mengkhianatinya akan mengakibatkan runtuhnya
sesebuah negara.
No comments:
Post a Comment